CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Saturday, February 25, 2012

Muhasabah Cinta

Saya memerhatikan pakcik tersebut dari dalam kereta. Berbaju Melayu, berkopiah putih, berkain pelekat kotak-kotak dan memegang payung dalam suasana hujan yang semakin lebat. Pakcik ini dengan sabar dan berhati-hati, menoleh ke kiri... ke kanan. Menanti kereta yang bergerak ke hulu dan ke hilir. Sejenak kemudian berjaya melintas jalan yang tidak pernah lengang.  Saya tahu pakcik ini destinasinya ke mana, ke masjid di seberang jalan. 

MashaAllah, bertuahnya pakcik ini. Hidupnya pasti penuh keberkatan rezeki dan masa. Bertuahnya dia menghitung pahala setiap langkahnya ke masjid di akhirat nanti. Saya menyimpan cemburu di hati.

Saya masih di dalam kereta, sebentar kemudian melewati kawasan masjid yang kian sesak, dengan kereta. MashaAllah, bertuahnya semua manusia yang berpusu-pusu ke masjid ini. Malam ini bukan malam Jumaat.  Malam ini bukan malam sambutan MaulidurRasul. Tapi kesesakan masjid ini tetap sama hampir setiap hari. MashaAllah bertuahnya kesemua jemaah masjid yang berebut-rebut menjadi tetamu Allah. Saya makin cemburu.

Mereka pasti jemaah yang istiqamah.
Mereka pasti jemaah yang diberi hidayah Allah.
Mereka pasti jemaah yang hatinya bertaut dengan rumah Allah.
Mereka pasti jemaah yang hidupnya diselubungi barakah.

Kenapa saya harus cemburu, sedangkan rumah Allah ini sentiasa terbuka untuk semua. Peluang saya dan mereka sama sahaja. Justeru selepas pulang ke rumah untuk bersiap-siap, saya dan suami kembali ke masjid ini, yang hanya 1km dari rumah kami. Alhamdulillah, dapat juga menjadi tetamuNya pada malam ini. Dengan izin, hidayah, keberkatan masa yang Allah beri.

Semasa bersolat, saya berdiri di sebelah seorang ibu bersama tiga orang anaknya. Si bongsu berusia 1tahun saya kira. Kanak-kanak ini duduk di hadapan ibunya. Kadang-kadang merangkak ke hadapan saya. Namun, seusai solat saya memegang tangan si kecil ini dan mengusap-usap kepalanya. Saya mahu memberi isyarat kepada ibunya, bahawa saya tidak kisah dengan anak kecilnya yang mungkin dianggap mengganggu ibadah saya. Saya tidak rasa terganggu. Malah saya berbangga dan cemburu dengannya. 

Ya, ibu ini yang melapangkan dadanya, meyakinkan dirinya bahawa anak-anak sekecil ini memang perlu dilatih untuk mendekati masjid. Biarlah masjid menjadi tempat permainannya, tempat sebahagian masa tumbesarannya berlaku, tempat anak-anak mendapat kenalan-kenalan baru dan pengalaman bersosial. Mengapa saya berpandangan begini, kerana saya juga diberi pendidikan yang sama oleh ibu bapa saya. Yang tidak risau membawa anak-anak ke masjid, kerana mereka tahu itu adalah satu bentuk pendidikan dan pertarbiahan. Semoga Allah merahmati ibu bapa saya.

Saya ini bukan seorang ahli masjid. Namun saya akui tautan hati terhadap rumah Allah ini sentiasa ada. Saya masih ingat antara masjid yang sangat saya rindui dan pasti akan rindui sampai bila-bila ialah Masjid Sultan Ahmad Shah, UIA Gombak. MashaAllah, sesiapa sahaja yang pernah berada di sana pasti memahami kecintaan saya ini. Terutama di bulan Ramdhan, memang tiada kata dapat diungkapkan. Peluang dan perasaan itu adalah anugerah Allah untuk warga Taman Ilmu dan Budi :)

Sekarang ini, kecintaan baru saya adalah di masjid sekolah saya, Sekolah Rendah Al-Azhar, Jitra. Ya, sekolah saya adalah sebuah sekolah persendirian yang terletak di celahan pohon-pohon getah, sekolah yang sedang membangun dan serba sederhana. Tetapi, keistimewaannya adalah ia mempunyai sebuah masjid yang cukup luas dan cantik untuk menampung pelajarnya. Ya, sebuah masjid, yang boleh kita beriktikaf di dalamnya. MashaAllah, inilah antara sebab saya masih 'terikat' untuk tidak mencari pekerjaan yang baru kerana masih belum bersedia untuk meninggalkan sebuah kehidupan yang boleh saya katakan diselubungi keberkatan dan biah solehah di dalamnya, dengan izinNya.

Oh, entri ini adalah satu muhasabah dan peringatan untuk diri saya sendiri.

Semoga kita semua sentiasa dikurniakan keberkatan masa untuk berkunjung ke rumahNya. Seandainya kita sentiasa ada masa untuk pergi membeli belah barang seharian, begitu juga kita pasti ada masa untuk mengumpul saham di akhirat nanti. Barakallahu fiikum :)

Regards,

Mrs Meow :)

0 comments:

Post a Comment

lovely comments

Custom Search